Seperti sukan-sukan lain, sukan berbasikal juga mempunyai peralatan dan keperluannya yang tersendiri. Sudah tentulah basikal merupakan benda paling penting, kalau tidak apa yang ingin anda kayuh, bukan?

Minggu yang lalu, admin sempat bertemu dengan beberapa individu dari kalangan para rakan kongsi Cycling Selangor dalam menjayakan Selangor Criterium Series tahun ini. Salah satunya tidak lain tidak bukan merupakan Plan A, sebuah pengeluar dan penjual pakaian dan aksesori berbasikal yang bertapak di Bukit Jelutong. Plan A diterajui oleh seorang pelumba muda prolifik, yang pernah berlumba untuk kelab-kelab terkemuka antarabangsa seperti pasukan Cinelli Chrome dari Itali juga pasukan CCN dari Laos. Beliau tidak asing lagi dari dunia perlumba di luar juga di dalam negara. Beliaulah Fazlan Adhili Bin Mastafa Kamar, lebih dikenali dengan gelaran Faz Adhili.

Sebagai rakan strategik kami untuk merpertingkatkan lagi mutu sukan berbasikal di Selangor, Faz Adhili dan Plan A mempunyai pengetahuan yang sangat mendalam mengenai dunia lumba basikal, termasuklah serba-serbi tentang pakaian dan peralatan yang seseorang perlu ada untuk menceburi atau pergi lebih jauh dalam kancah sukan ini. Berikut adalah hasil temu bual kami bersama permuda berpengalaman berumur 29 tahun ini.

(Sila klik soalan-soalan di bawah untuk memaparkan/menyembunyikan jawapan.)

Plan A: falsafah dan keunikan
“Falsafah disebalik Plan A ialah produk berkualiti tinggi dengan harga yang amat berpatutan. Kami ingin menjadi seperti H&M bagi dunia berbasikal di Malaysia. Contohnya jersi kami menggunakan bahan dan fabrik yang sama seperti jenama-jenama dari luar negara, tapi jika dibandingkan harga, jersi kami 3 kali ganda lebih murah.”

Pakaian dan aksesori dalam dunia berbasikal
“Apabila kita bercakap pasal pakaian dan aksesori, kita bercakap tentang segalanya dari kepala hingga ke kaki seperti topi keledar, topi berbasikal (ya, ianya berbeza dengan topi keledar dan dipakai di dalam topi keledar), jersi, bib, sarung kaki dan juga kasut. Ada juga aksesori-aksesori lain seperti cermin mata hitam, tapi fokus Plan A lebih kepada jersi dan bib berbasikal.”

Pakaian: bib vs seluar pendek
“Saya rasa jersi boleh dipertimbangkan lagi, tapi benda yang saya sarankan penunggang pakai ialah bib. Sebab dalam berbasikal, akan ada banyak sentuhan antara punggung dan juga pelana basikal. Sangat banyak. Dan akan ada banyak pergerakan di kawasan peha semasa mengayuh. Kalau anda membeli produk yang salah, contoh macam bib berkualiti rendah, ia boleh mengundang kecederaan sampaikan boleh dikatakan sinonim yang orang mengayuh ni akan melecet. Ini salah satu punca. Size yang salah, bahan kualiti rendah, fitting salah. Apabila fitting salah, posisi padding akan lari. Penunggang baru ni biasanya tak suka pakai bib, mereka suka memakai seluar pendek tapi seluar pendek banyak pergerakan. Dia akan tertarik kedepan dan kebelakang semasa menunggang. Jadi dapatkan bib yang sesuai untuk diri anda.”
Jaga keselamatan: topi keledar
“Paling penting topi keledar. Kita tak nak benda buruk terjadi, tapi kalau kemalangan… Ada sebab mengapa topi keledar boleh mencecah harga beribu. Semuanya demi jaminan dan quality control yang ketat. Dari luar mungkin barang tiruan nampak sama, tapi dari segi teknologi dan dalaman sangat berbeza. Jadi anda perlu menjadi pengguna yang bijak. Mungkin perlu berbelanja lebih sikit demi keselamatan.”

Basikal
“Oh sudah tentu anda perlu ada basikal, dan sebenarnya tak semestinya basikal yang terlalu mahal. Yang paling penting basikal tersebut bersaiz yang sesuai dengan penunggangnya. Ini yang dipanggil “fitting”. Benda ni menjadi kesilapan biasa bagi mereka yang pertama kali ingin membeli basikal. Salah saiz. Dan mereka membeli basikal yang terlalu besar atau terlalu kecil. Kadangkala ia bukan sepenuhnya kesalahan pembeli, kerana penjual basikal juga perlu peka dengan tujuan pelanggan mereka membeli basikal tersebut dan bukan hanya mengejar jualan. Basikal tersebut juga perlu sesuai dengan apa disiplin basikal yang ingin diceburi sama ada road bike, mountain bike, touring bike atau selainnya.”

Soalan bonus: cukur bulu kaki atau tak cukur?
“Cukur. Dari segi kajian, ada yang menunjukkan sedikit peningkatan prestasi pelumba jika mencukur bulu kaki. Tak banyak, tapi ada. Tapi bagi saya, ia nampak kemas. Lebih-lebih lagi sekarang kamera semua canggih-canggih. Sampai bulu hidung pun boleh nampak -ketawa-. Kita perlu nampak bersih dan kemas. Dalam perlumbaan lebih-lebih lagi perlumbaan time trial, semua benda perlu dipertimbangkan. Posisi badan pun mungkin kalau rendahkan sedikit boleh menjadi penentu. Tetapi dalam perlumbaan criterium, ia membantu tetapi tidak terlalu ketara. Apa-apapun, bercukur nampak kemas.”

Akhir kata
“Plan A sendiri telah bekerjasama dengan Cycling Selangor dengan rapat sejak permulaannya, dan kami sangat berbangga menjadi sebahagian inisiatif ini. Dari berlumba di jalanan tanpa sokongan, sekarang kami ada rakan-rakan seperti BMW, Red Bull dan Litar Sepang, semuanya hasil kerjasama yang baik diantara semua ahli pasukan Cycling Selangor dan Selangor Youth Community (SAY). Tidak lupa juga sokongan yang kami dapat daripada komuniti-komuniti basikal kerana tanpa mereka kita takkan dapat pergi jauh. Pada saya perbezaan sebenar program-program Cycling Selangor dengan anjuran lain ialah dari segi penglibatan mereka dengan komuniti tempatan yang membuat mereka merasa sebahagian daripada program tersebut. Saya harap kerjasama ini akan berterusan dan terus berkembang dan konsisten.”

Plan A bermula sejak 3 tahun yang lalu, berpusatkan sebuah studio kecil di Subang Jaya SS15 sebelum berkembang seperti sekarang. Plan A masih memegang hala tuju yang sama, memberi fokus kepada pakaian dan aksesori berbasikal dan bukannya basikal itu sendiri. Selain jualan di kedai mereka, Plan A menyediakan pelbagai servis termasuk mengeluarkan pakaian tempahan khas (daripada jersi berbasikal hingga ke jersi bola sepak mahupun pakaian uniform dan polo-T). Plan A juga menyediakan servis produksi gambar dan video, dengan senarai pelanggan (terdahulu dan terkini) termasuk Red Bull, Sime Darby dan Touch n’ Go.

Selain jualan di kedai, Plan A juga membuka gerai di setiap perlumbaan Selangor Criterium Series 2019. Kami mungkin mengadakan promosi masa terhad bagi sesetengah perlumbaan yang kami akan umumkan di media sosial Facebook dan Instagram.

Scroll Up