Memandangkan perlumbaan ketiga Selangor Criterium Series (SCS) 2019 akan berlangsung tidak lama lagi, kali ini admin ingin berkongsi hasil temubual bersama seorang pelumba hebat yang telah pun mengharumkan nama negara di persada dunia.

Kenali Mariana Mohamad, atau lebih dikenali dengan nama Mariana Ford. Ibu kepada 2 orang anak ini telah bergiat aktif sebagai atlet sejak berumur 19 tahun, dan sehingga sekarang beliau masih kekal aktif dalam pelbagai sukan pada umur 41 tahun. Malah, sejurus selepas tamat temu bual bersama kami, beliau perlu berlepas ke negara China untuk menyertai ITU Multisport World Cup di Wenzhou, dalam acara duathlon.

Kami berkesempatan untuk bertemu beliau di Putrajaya dalam salah satu edisi ‘Monday Night Recovery Ride’ yang kerap beliau anjurkan.

(Sila klik soalan-soalan di bawah untuk memaparkan/menyembunyikan jawapan.)

Sejak bilakah anda mula berbasikal?
“Saya mula aktif sejak berumur 19 tahun. Saya sebenarnya belajar berbasikal semasa saya berumur 19 tahun.”

Apakah yang membuatkan anda mula berkecimpung dalam sukan berbasikal?
“Sebenarnya saya ada seorang kawan penggemar triathlon pada masa tu yang ingin saya belajar berbasikal kerana dia nak saya ikut menyertai satu acara triathlon. Triathlon melibatkan berenang, berbasikal dan berlari kan? Jadi dia nak saya belajar berbasikal, dan dia sendiri yang mengajar saya berbasikal. Saya tak pernah naik basikal seumur hidup saya sebelum tu, dan basikal yang saya guna untuk belajar sangatlah besar! Tapi apabila saya berjaya menakhluk segala rasa takut terus berbasikal, sedar-sedar saya telah pun menamatkan acara triathlon itu, dan seterusnya mula menyertai pelbagai acara lumba basikal.”

Semuanya dalam tahun yang sama?
“Ya, tahun yang sama. Saya belajar masa umur 19 tahun, saya mula berlumba pun umur 19 tahun. Mungkin daya mengimbang saya baik. Cepat tangkap -ketawa-.”
Tambah beliau lagi,
“Kalau awak dapat mengimbangkan diri dengan baik, berbasikal ini mudah. Teruskan mencuba dan mencuba. Saya pun banyak kali jatuh, tapi mungkin sebab saya agak degil, saya terus mencuba. Dan sekarang saya berada di sini.”

Baru-baru ini anda telah menyertai ‘National Championships Malaysia WE’. Apakah yang mendorong anda untuk terus melibatkan diri dalam sukan berbasikal sehingga sekarang?
“Berbasikal memang minat saya. Ia dalam darah saya, dan saya suka berbasikal lebih dari segalanya. Jadi setiap kali ada peluang, saya terus pergi. Saya terus pergi dan mencabar diri menentang pelumba-pelumba elit setimpal dengan latihan yang saya dah buat. Pada saya, kalau saya tak berlatih, saya tahu di mana saya berada. Tapi kalau saya berlatih, saya nak lihat di mana usaha saya dapat berdiri di sisi pelumba-pelumba kebangsaan sekarang.”

Bagaimanakah perasaan yang anda alami apabila menyertai acara-acara di peringkat yang tinggi berbanding acara-acara kecil?
“Ia sebenarnya satu pembakar semangat dan keyakinan yang baik, apabila berlumba dengan orang-orang hebat! Ia sebenarnya pendorong untuk kita pergi lebih jauh. Rasanya sangat berbeza apabila kita berada di atas, dan tahu serba-serbi yang kita lakukan. Dan bila kita nampak pelumba-pelumba baru, cara mereka mengayuh dan sebagainya, kita rasa nak tolong mereka dan turunkan apa yang kita tahu. Saya contohnya memang merasa hebat berada di atas, tapi saya juga dah lalui semua proses untuk naik ke atas. Kamu tahu? Semua orang bermula dari bawah.”

Bagi mereka-mereka yang berminat untuk menceburi lumba basikal, tetapi mungkin berasa takut untuk mengambil langkah pertama, apakah tips yang boleh anda beri supaya mereka boleh perlahan-lahan menyelesakan diri menyertai sukan ini?
“Tiada cara lain, sertai perlumbaan. Dapatkan pendedahan. Saya tak suruh pergi dan cederakan diri, tapi pergi dan cari pengalaman, habiskan perlumbaan. Itu sahaja. Berulang dan konsisten. Kalau kamu terus berusaha, sampai satu masa kamu akan bina keyakinan dan lambat-laun kamu akan sedar yang kamu dah naik taraf. Kamu pasti boleh rasa sendiri nanti, dan kamu akan mula berkata ‘Aku akan buat lagi baik lain kali’ atau ‘Kali ni aku nak kalahkan dia’. Letak sasaran. Jika kamu ada program latihan, ikut program itu. Jika tidak, teruskan sahaja berbasikal.”

Jadi untuk menjadi lebih baik, mereka diluar sana disarankan untuk terus dan terus mengayuh bukan. Tetapi sudah tentu ada perbezaan antara kayuhan biasa dan perlumbaan bukan?
“Ya, sudah tentu! Contohnya seperti ‘Monday Night Recovery Ride’ yang saya sering kali anjurkan, kita memang maklumkan semua peserta yang ini bukan perlumbaan. Jadinya semua akan lebih bertenang, dan boleh bersembang dan bergembira dengan rakan-rakan. Tak perlu terlalu menekan diri sendiri, cuma sekadar bersenam dan naikkan kadar degupan jantung. Berseronok. Tapi segalanya berubah bila berlumba. Bagi saya, minda saya akan bertukar gear. Saya akan jadi lebih fokus, adrenalin meningkat, mungkin saya waktu tu seperti orang lain. Putaran 180 darjah! Bam! Seperti petikan suis. Jangan cakap apa-apa, saya sedang fokus! -ketawa-”

Jadi dengan kayuhan biasa pun, kita tetap dapat meningkatkan diri?
“Ya. Kayuh selalu. Cari kumpulan yang sesuai, dan ca ikut kumpulan yang lebih laju daripada kamu. Apabila kamu rasa mereka makin perlahan bagi kamu, naik taraf dan cuba cari kumpulan yang lebih laju. Cuba ikut mereka. Jika kamu gagal, jangan putus asa! Cuba lagi! Cuba lagi dan terus cuba lagi, sampai kamu boleh ikut mereka. Itu sahaja. Konsisten. Kamu perlu yakin dan sampai masanya kamu boleh lakukannya. Tapi kalau kamu hanya buat sekali sekala, kamu tak akan kemana-mana. Kamu perlu selalu mengayuh.”

Pada pendapat anda, adakah penyertaan golongan wanita dalam sukan ini, samada kayuhan santai mahupun perlumbaan, cukup memuaskan?
“Perlu lebih lagi, tak cukup. Mereka perlu mula mengayuh. Contohnya, kumpulan saya tidak selaju mana. Kalau saya berada di hadapan, purata kelajuan kebiasaannya sekitar 30km/jam. Ia tidak laju mana sebenarnya, dan sangat baik untuk kesihatan jantung dan fizikal. Jika kamu ketinggalan, tidak mengapa. Teruskan berusaha.”

Mariana terus ramah menjawab segala persoalan kami, sementara kumpulannya mula mengayuh. Beliau tidak dapat menyertai kayuhan pada malam tersebut kerana beliau telahpun mempersiapkan segala kelengkapan untuk berlepas pada awal pagi keesokan harinya. Memandangkan malam semakin lewat, kami membuat keputusan untuk meringankan persoalan.

Secara personal, adakah anda mempunyai apa-apa detik istimewa berkenaan berbasikal?
“Ya! Semasa saya mula-mula menyertai pasukan kebangsaan. Tahun pertama sekali, 2009. Kami menyertai perlumbaan di Pulau Pinang dan saya menang! Ia kali pertama saya sertai mereka dan saya menang. Saya berada di awangan. Tahun seterusnya pula saya memenangi gelaran Juara Kebangsaan, seterusnya mewakili Malaysia di Kejohanan Lumba Basikal Australia. Detik-detik yang sangat indah.”

Bolehkan anda bayangkan hidup tanpa berbasikal?
“Tidak, tidak sama sekali. Saya suka berbasikal dan saya dapat pergi merata tempat dengan berbasikal. Dengan berbasikal, kamu dapat menjelajah ke merata tempat dan meneroka lokasi yang kamu mungkin tidak terfikir pun. Tempat-tempat yang kereta tidak dapat pergi. Berbasikal beri kebebasan. -ketawa- Dan berlari terlalu memenatkan dan membebankan tubuh badan. Jadi teruskan berbasikal. Ia baik untuk fizikal dan mental, juga dapat memperkenalkan kamu kepada rakan-rakan baru.”

Adakah anda mempunyai mana-mana lokasi kegemaran untuk berbasikal?
“Putrajaya. Ia tempat paling selamat untuk berbasikal. Jalannya luas, dan pemandu di sini rata-rata memahami dan menghormati penunggang basikal. Mereka akan ketepi sedikit dan tidak memandu terlalu rapat. Ia tempat terbaik untuk mengayuh di Malaysia bagi saya.”

Untuk tidak menahan beliau terlalu lama, kami tamatkan sesi temu bual dengan mengambil gambar dan beransur pulang bagi memberi laluan untuk beliau berehat dan mempersiapkan diri sebelum berlepas ke China. Kami kemudiannya telah menerima berita gembira bahawa beliau telah meraih tempat kedua dalam acara Duathlon Wanita Elit di ‘2019 Wenzhou ITU Multisport World Cup’.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai ‘Monday Night Recovery Ride’ yang kerap dianjurkan Mariana Mohammad pada malam Isnin, anda boleh mengikuti laman sosial beliau di Instagram @marianaford.

Scroll Up