Dalam artikel yang lepas, admin menyentuh tentang gred dan kategori dalam Selangor Criterium Series (SCS) 2019. Hari ini admin ingin memberi sedikit pencerahan berkenaan kepentingan berpasukan dalam sukan lumba basikal. Mari kita teroka topik ini bersama, daripada sejarah hingga ke struktur pasukan dan pentingnya berpasukan.

Pasukan-pasukan Hebat Masa Lampau Dan Kini

Jika dilihat di peringkat antarabangsa, sukan lumba basikal telah sekian lama didominasi oleh pelumba-pelumba yang berpayung di bawah sesebuah pasukan berbanding pelumba individu. Meskipun hanya nama-nama individu sahaja yang muncul di dada akhbar dan disebut-sebut penonton, namun mereka tetap membawa wajah pasukan masing-masing.

Tahun 60an melihat perubahan landskap perlumbaan berbasikal antarabangsa, di mana corak pasukan berbasikal beredar daripada berpaksikan sesuatu lokasi atau negara kepada pasukan yang dinaungi dan ditaja badan-badan tertentu seperti yang dapat dilihat sekarang. Ianya tidak seperti pasukan bola sepak misalnya, di mana kebiasaannya pasukan-pasukan tertubuhnya berasaskan lokasi seperti bandar, negeri dan sebagainya. Bagi sukan lumba basikal, nama pasukan selalunya akan berkisarkan penaja-penaja mereka dan akan bertukar jika terdapat apa-apa pertukaran di kalangan penaja-penaja mereka, dan akan menaungi para pelumba merentas sempadan.

Jika kita mengimbau kembali sejarah lumba basikal, antara lagenda terhebat sukan ini sudah semestinya “The Cannibal” Eddy Merckx. Merckx menunggang dua musim pertama beliau di bawah pasukan Peugeot yang pada masa itu dikenali sebagai Peugeot–BP–Michelin di penghujung 60an. Pasukan Peugeot yang didaftarkan di Perancis telah menaungi banyak lagi pelumba-pelumba hebat dengan nama-nama seperti Charly Gaul yang digelar “Angel of the Mountains” pada Tour de France 1958, lagenda juara dunia 1965 Britain, Thomas Simpson, dan juga juara dua kali Tour de France, Bernard Thévenet, yang juga merupakan individu yang menamatkan rekod 5 kemenangan Tour de France berturut-turut Merckx pada tahun 1975. Ditubuhkan sebagai pasukan Peugeot pada tahun 1901, pasukan Peugeot telah dikenali dengan pelbagai nama termasuk Peugeot–Dunlop (1925-1955), Peugeot–BP–Michelin (1965-1975) dan Peugeot–Shell (1986). Malangnya, pasukan ini secara rasminya telah dibubarkan pada tahun 1986 namun telah diikuti dengan penubuhan pasukan Vêtements Z-Peugeot oleh pengurus terakhirnya, Roger Legeay. Pasukan ini juga telah dibubarkan pada tahun 2008 di bawah nama Crédit Agricole.

Walaupun sukan lumba basikal ini tidaklah digembar-gemburkan serancak bola sepak, namun Malaysia juga telah mengorak langkah sebagai pencabar di dalam dunia lumba basikal dengan kemunculan pasukan-pasukan Continental seperti Team Sapura Cycling dan Terengganu Inc. TSG Cycling Team.

Pemenang keseluruhan Le Tour de Langkawi 2018 menerusi pelumba Artem Ovechkin, Terengganu Inc. TSG Cycling Team (TSG) bukanlah nama asing dalam kancah benua Asia. Ditubuhkan sejak tahun 2011 dengan nama Terengganu Cycling Team atau Terengganu Pro Asia Cycling Team, pasukan ini telah muncul juara keseluruhan Tour de Brunei 2011 melalui pelumba Shinichi Fukushima terus dalam tahun penubuhannya. Sejak daripada itu, mereka kekal prominen dalam rantau Asia sehingga sekarang. Pelumba perkasanya Goh Choon Huat telah muncul juara dalam National Championships Singapore bagi perlumbaan “time trial” dan juga “road race”.

Ditubuhkan pada tahun 2017, Team Sapura Cycling (TSC) telah menonjol dalam pelbagai perlumbaan di rantau Asia kebelakangan ini. Pasukan yang agak baru ini bukan calang-calang, dengan kejayaan mereka merangkul kemenangan keseluruhan dalam Tour de Singkarak 2018 di Indonesia dengan pelumba Jesse Ewart, Le Tour de Langkawi 2019 menerusi Benjamin Dyball, serta Tour de Iskandar Johor 2019 melalui Mario Vogt. Benjamin Dyball juga telah menjulang tempat pertama bagi TSC dalam dua kategori perlumbaan di Oceania Continental Championships 2019, iaitu perlumbaan “time trial” serta perlumbaan “road race”.

Kita telah melihat contoh-contoh pasukan ternama dalam sukan ini, namun bagaimana pula terdirinya sesebuah pasukan lumba basikal?

Struktur Pasukan Berbasikal

Apabila bercerita tentang pasukan lumba basikal, mungkin hanya para pelumba sahaja yang terlintas di minda. Walaupun secara asasnya pelumba-pelumba basikal inilah yang bersabung pada hari perlumbaan, namun sesebuah pasukan berbasikal sebenarnya wujud sebagai satu bentuk ekosistem yang terdiri daripada pelbagai kakitangan. Setiap satu kakitangan ini saling menyokong satu sama lain, yang akhirnya akan memacu pasukan tersebut merangkul kemenangan, ataupun mengharungi kekalahan supaya berjaya pada hari kemudian. Jadi mari kita ketahui serba sedikit mengenai tenaga kerja di balik tabir yang menggerakkan sesebuah pasukan.

Pengurus

  • posisi teratas yang bertanggungjawab memastikan pasukan tersebut beroperasi dengan lancar
  • memantau komitmen setiap ahli pasukan serta memastikan setiap daripada mereka berkerjasama dengan baik
  • bertanggungjawab mencari penaja dan menjalankan operasi luaran pasukan

Directeur Sportif

  • istillah Perancis yang bermaksud Pengarah Sukan
  • mengikuti para pelumba ke setiap perlumbaan yang mereka sertai untuk merumus strategi perlumbaan para pelumba
  • kebiasaannya akan menaiki kereta pasukan dan mengikuti serta berhubung dengan para pelumba mereka melalui sistem radio dalam perlumbaan antarabangsa

Jurulatih

  • jurulatih sentiasa terlibat dengan para pelumba sepanjang tahun, walaupun dalam tempoh tiada perlumbaan dijalankan
  • menjaga rejim latihan dan tahap kecergasan setiap pelumba
  • saiz barisan jurulatih meningkat mengikut saiz pasukan

Doktor

  • mengikuti para pelumba dalam penjelajahan mereka untuk memastikan rawatan yang pantas pada bila-bila masa jika mereka tercedera
  • pasukan lumba basikal antarabangsa atau bersaiz besar selalunya menggajikan doktor mereka sendir

Ahli Terapi

  • bertindak sebagai pembantu jurulatih
  • menjaga tahap kecergasan para pelumba

Soigneur

  • istillah Perancis yang dalam bahasa mudah bermaksud “penjaga” kepada para pelumba di dalam sesebuah pasukan
  • mereka melakukan hampir segalanya kecuali menjaga basikal; termasuklah mengiringi pelumba pergi dan balik dari tempat perlumbaan, memberi urutan terapi, melaksanakan pertolongan cemas, dan menyediakan pakaian serta makanan para pelumba sebelum juga semasa perlumbaan

Mekanik

  • kebiasannya terletak di bahagian bawah hierarki, namun sangat penting
  • bertanggungjawab menjaga segala peralatan yang digunakan pasukan dalam perlumbaan

Selain itu, pasukan lumba basikal juga mempunyai satu badan atau individu yang digelar sebagai “Paying Agent”, yang berperanan mengendalikan dan menggajikan pasukan tersebut, juga akan mempunyai para rakan kongsi utama atau penaja-penaja utama.

Kategori dan Klasifikasi Pasukan Berbasikal Antarabangsa

Walaupun terdapat pelbagai bentuk dan struktur perlumbaan dan pasukan berbasikal di seluruh dunia, namun terdapat 3 kategori profesional yang digunapakai oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sekarang untuk perlumbaan jalan, iaitu “UCI Continental Team”, “UCI Professional Continental Team”, dan “UCI WorldTeam”.

UCI WorldTeam

Kategori pasukan yang tertinggi di bawah UCI. Pasukan-pasukan WorldTeam memegang amanah dan tanggungjawab untuk menyertai setiap acara “World Tour” yang dianjurkan oleh UCI yang akan menentukan posisi pelumba-pelumba mereka dalam “UCI World Rankings”. Acara-acara World Tour ini termasuk ketiga-tiga acara “Grand Tour” (Giro d’Italia, Tour de France dan Vuelta a España) serta 35 lagi acara-acara besar di seluruh dunia.

UCI Continental Team

Merupakan kategori paling rendah di bawah UCI, pasukan-pasukan UCI Continental Team hanya layak menyertai acara-acara “UCI Continental Circuit” sahaja yang dijalankan di rantau masing-masing sama ada di Afrika, Amerika, Asia, Eropah atau Oceania.

UCI Professional Continental Team

Pasukan-pasukan ini berada di tengah-tengah antara UCI WorldTeam dan UCI Continental Team. UCI Professional Continental Team berkemungkinan dipelawa menyertai acara World Tour, namun tidak akan menyumbang apa-apa mata bagi UCI WOrld Rankings. Selain daripada kelebihan itu, mereka layak untuk menyertai acara-acara “UCI Continental Circuit” seperti UCI Continental Team.

Setiap klasifikasi UCI mempunyai syarat-syarat minima mereka tersendiri, dan setiap pasukan juga perlu mendaftarkan negara di mana mereka akan berpaksi untuk menentukan perlumbaan-perlumbaan yang layak mereka sertai.

Klasifikasi Kriteria Pendaftaran Negara
UCI WorldTeam – 23 pelumba yang terdiri daripada pelumba-pelumba lelaki elit atau lelaki U23; dan
– 4 Directeurs Sportifs; dan
– 10 kakitangan lain.
– negara di mana Paying Agent pasukan didaftarkan; atau
– negera di mana pejabat pemegang lesen pasukan didaftarkan; atau
– negara di mana salah satu rakan kongsi utama memasarkan apa-apa produk atau servis yang menggunakan nama pasukan tersebut.
UCI Professional Continental Team – 16 pelumba yang terdiri daripada pelumba-pelumba lelaki elit atau lelaki U23; dan
– 3 Directeurs Sportifs; dan
– 5 kakitangan lain.
– negara di mana Paying Agent pasukan didaftarkan; atau
– negara di mana salah satu rakan kongsi utama memasarkan apa-apa produk atau servis yang menggunakan nama pasukan tersebut.
UCI Continental Team – 8 hingga 16 pelumba yang terdiri daripada pelumba-pelumba lelaki elit atau lelaki U23. – negara majoriti pelumba-pelumba pasukan.

Selain itu, terdapat juga pasukan-pasukan kebangsaan yang mewakili negara masing-masing, digunapakai bagi acara-acara seperti di Sukan Olimpik, acara-acara rantau seperti Sukan Asia, serta acara-acara “UCI World Championships”.

Faedah-faedah Berlumba Secara Berpasukan

            “Tapi bukankah lumba basikal ni sebenarnya sukan individu?”

Tidak. Memang ada acara-acara yang dijalankan secara individu, tetapi keseluruhannya sukan ini memang dilaksanakan secara berpasukan. Mengapa?

Setelah sekian lama, suasana di mana kepentingan sesebuah pasukan berkerjasama untuk melonjakkan pelumba individu dalam sukan lumba basikal telah mewujudkan satu persekitaran yang unik. Ia merupakan satu suasana yang luar biasa, di mana kumpulan pelumba telah diibaratkan sebagai sebuah keluarga yang mempunyai peraturan-peraturannya tersendiri, kesemuanya menekankan semangat berpasukan sehinggakan apa-apa bentuk “perkhianatan” dianggap sebagai satu “dosa besar”. Perkara ini telah membawa kepada pelbagai aplikasi strategi dalam perlumbaan.

Ya. Strategi. Sebenarnya, sukan lumba basikal juga memerlukan strategi yang mendalam. Jika dilihat di peringkat profesional, terdapat pelbagai bentuk strategi digunapakai oleh pasukan-pasukan serta para pelumba mereka. Daripada penyusunan barisan pelumba, komunikasi antara ahli pasukan, sehingga aksi-aksi seperti “drafting”, “breakaway” dan “negative splitting”, strategi yang digunakan merupakan penentu menang-kalah dalam sesuatu perlumbaan. Ha! Berminat ingin tahu lebih lanjut? Mungkin admin akan bercerita tentang strategi-strategi yang ada dalam sukan ini dengan lebih terperinci lagi pada masa akan datang.

Selain itu, berlumba secara berpasukan juga meningkatkan daya kebolehpasaran pasukan tersebut mahupun pelumba secara individu dalam sukan ini. Ianya memudahkan proses penjenamaan, penajaan serta pengkomersialan pasukan dan para pelumba, sekali gus membantu mereka menyerlah di mata pemerhati. Penjenamaan dan rupa luaran amat penting demi perkembangan sesebuah pasukan di masa hadapan. Dengan pemasaran dan perancangan yang betul, mungkin pasukan-pasukan seperti South Puchong Cycling Club (SPCC) atau Bukit Jelutong Cycling Club (BJCC) berpotensi melonjak ke persada antarabangsa seperti Team Sapura Cycling atau TSG Cycling Team. Siapa tahu?

Fuh. Panjang berjela sudah kita bercerita serba-serbi tentang pasukan dalam sukan lumba basikal ini. Jadi apa lagi? Mari berlumba secara berkumpulan! Bagi sesiapa yang belum lagi mendaftar untuk berlumba secara berkumpulan, hari perlumbaan kedua Selangor Criterium Series (SCS) 2019 akan ada sedikit perbezaan berbanding hari perlumbaan pertama tempoh hari, di mana kali ini setiap pasukan akan diberikan kem masing-masing. Para pelumba yang masih tiada kumpulan berpeluang menyertai dan berdaftar di bawah pasukan-pasukan ini untuk baki perlumbaan mereka dalam SCS 2019. Pelumba-pelumba yang berdaftar secara berkumpulan hanya perlu membayar wang penyertaan sebanyak RM45 sahaja berbanding RM50, dan layak mengumpul mata bagi memenangi hadiah wang tunai di penghujung siri ini. Hari perlumbaan kedua SCS 2019 akan berlangsung pada 18 Ogos nanti, bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Acara akan bermula seawal pukul 7 pagi dan dijangka berlangsung sehingga pukul 1 petang.

Sumber:

Cycling Team Hierarchy: Hierarchical Structures And Charts. (2017, December 05).

Retrieved August 01, 2019, from https://www.hierarchystructure.com/cycling-team-hierarchy/

Five of the best ever pro cycling teams. (2014, June 14). Retrieved August 03, 2019, from http://velocurator.com/five-best-teams/

Knoedler, K. (2018, June 05). What the Heck is a Soigneur? Retrieved August 02, 2019, from https://www.duvine.com/blog/what-the-heck-is-a-soigneur/

Rebeggiani, L. (2015). The Organizational Structure of Professional Road Cycling. The Economics of Professional Road Cycling Sports Economics, Management and Policy, 33-54. doi:10.1007/978-3-319-22312-4_3

Team Sapura Cycling (CT)»2019. (n.d.). Retrieved August 03, 2019, from https://www.procyclingstats.com/team.php?id=3933

Terengganu Cycling Team (CT)»2019. (n.d.). Retrieved August 03, 2019, from https://www.procyclingstats.com/team.php?id=1443

There’s no ‘I’ in Team: Cycling strategy. (2017, January 23). Retrieved August 05, 2019, from https://www.probikekit.co.uk/blog/archive/theres-no-i-in-team-cycling-strategy/

UCI Cycling Regulations: Part 1 General Organisation Of Cycling As A Sport (version on 29.07.2019). (2019, July 29). Retrieved August 05, 2019, from https://www.uci.org/docs/default-source/rules-and-regulations/1-gen-20190715-e.pdf?sfvrsn=b6f5c2e4_108

UCI Cycling Regulations: Part 2 Road Races (version on 05.02.2019). (2019, July 01). Retrieved August 05, 2019, from https://www.uci.org/docs/default-source/rules-and-regulations/part-ii-road/part-ii—road-races.pdf?sfvrsn=448068eb_30

Scroll Up