Setelah berlalunya acara pra-perlumbaan Selangor Criterium Series (SCS) 2019 pada 11 Mei juga bersempena pacuan perlumbaan yang pertama di Taman Tasik Shah Alam pada 6 Julai tempoh hari, hari ini admin ingin menceritakan tentang sistem penggredan yang digunapakai oleh SCS tahun ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya berkenaan “Bike-ability” Grading System yang julung kali digunakan dalam perlumbaan basikal criterium di Malaysia. Mengapa tidak terus menggunakan kategori umur seperti biasa?

Sistem Penggredan Antarabangsa

Jika dilihat adegan sukan perlumbaan berbasikal di seluruh dunia, sudah pastinya terdapat berbagai-bagai pendapat dan teori berkenaan rangkaan “handicapping”, atau cara-cara bagaimana pengelola mengkelaskan dan mengkategorikan para pelumba demi memastikan mutu saingan dan perlumbaan masing-masing.

Amerika Syarikat

Sebagai contoh di Amerika Syarikat, struktur kategori perlumbaan basikal jalanan dan litar (road and track racing) meletakkan semua pelumba yang baru berdaftar bermula dengan lesen kategori 5 (Cat. 5) bagi lelaki atau kategori 4 (Cat. 6) bagi wanita, dan perlu menamatkan sejumlah perlumbaan yang dibenarkan USA Cycling (USAC) bagi melonjak dari Cat. 5 ke Cat. 4, juga dari Cat. 4 ke Cat. 3; atau dengan mengumpul sejumlah mata tertentu dalam tempoh 12 bulan bagi melonjak dari Cat. 4 ke Cat. 3, Cat. 3 ke Cat. 2, dan juga Cat. 2 ke Cat. 1. Mana-mana pelumba boleh memohon lesen mereka diturunkan kepada kategori yang lebih rendah dan penilaian permohonan tersebut akan dijalankan secara mengikut kes. Namun, mana-mana pelumba tidak boleh diturunkan kepada Cat. 5, dan tidak boleh diturunkan kategori jika mereka telah melalui proses penaikkan kategori dalam tahun yang sama.

Great Britain

Di Britain pula, British Cycling (BC) menggunakan satu sistem yang hampir sama digelar kategori keupayaan atau “ability category”. Pelumba yang baru berdaftar di bawah BC akan diberikan lesen dan ditempatkan di dalam kategory keempat (4th Category), dan perlu mengumpul sejumlah mata dalam satu musim perlumbaan untuk naik ke kategori seterusnya. Seperti di Amerika Syarikat, pelumba boleh diturunkan kategori akan tetapi di Britain, kategori akan secara automatik diturunkan jika seseorang itu tidak berjaya mengumpul sejumlah mata minimum untuk kekal di dalam kategori yang didudukinya pada hujung sesuatu musim. Namun begitu, para pelumba tidak akan diturunkan kembali ke 4th Category selepas berjaya menduduki 3rd Category walaupun sekali. “Ability category” di bawah BC terbahagi kepada 5 peringkat iaitu 4th Category, 3rd Category, 2nd Category, 1st Category dan Elite Category.

Australia

Jika dilihat di Australia pula, mereka tiada satu sistem yang dipraktikkan secara nasional. Akan tetapi, setiap kelab berbasikal akan ada sistem pengreddan atau “handicapping” mereka sendiri dengan mengambil kira keputusan perlumbaan-perlumbaan terkini yang telah disertai oleh seseorang pelumba. Sistem ini hampir sama dengan apa yang dipraktikkan dalam SCS 2019. Akan tetapi, perbezaan utama di antara sistem yang dipraktikkan dalam SCS 2019 berbanding yang dipraktikkan oleh kelab-kelab di Australia ialah pengiraan tahap FTP pelumba.

Faedah-Faedah Gred Dan Kategori

Haaa! Kita sudah bercerita tentang kriteria-kriteria penyertaan bagi setiap kategori, tetapi mungkin ada yang masih bertanya

            “Kenapa perlu guna sistem baru ni?”

Jom kita kupas serba sedikit mengenai rasional SCS 2019 berpindah kepada sistem “grading” atau penggredan sebegini.

Keadilan dan Kesengitan Perlumbaan

Jawapan pertama sangat mudah: untuk memastikan perlumbaan yang seimbang dan lebih hangat. Matlamatnya ialah untuk memperkasakan lagi mutu sukan berprestij ini, dan secara tidak langsung meningkatkan tahap keseronokan bagi pihak pelumba juga bagi pihak penonton. Semestinya mana-mana sukan akan lebih menarik jika ada pertarungan dan perebutan yang sengit.

Pengagihan mengikut FTP dan tahap pengalaman pastinya dapat mengkelaskan setiap peserta dalam kelompok yang lebih sesuai. Ini kerana tahap intensiti dan juga tempoh perlumbaan di antara satu kategori ke satu kategori yang lain adalah berbeza. Contohnya, purata kelajuan peloton (kelompok utama dalam perlumbaan berbasikal) bagi Kategori Lelaki A ialah 40 km/h dan keatas dengan tempoh perlumbaan bagi kategori ini kebiasaannya 30 hingga 45 minit; manakala Kategori Lelaki C pula mempunyai purata kelajuan peloton 30 km/h dan ke atas dengan tempoh perlumbaan dari 25 hingga 40 minit.

Secara ringkasnya, adalah kurang masuk akal jika pelumba baru yang berumur 27 tahun dipaksa berhadapan pelumba kegemaran yang juga berumur 27 tahun bukan?

Penanda Aras Peningkatan Kemampuan

Sifat kuantitatif FTP juga merupakan satu petanda yang boleh digunapakai para pelumba sebagai penanda aras kemampuan masing-masing. Pemantauan FTP dapat dijalankan secara sistematik dan teratur dari semasa ke semasa untuk mengukur apa-apa peningkatan atau penurunan prestasi seseorang pelumba.

Pemantauan FTP ini sebenarnya dipraktikkan oleh jurulatih berbasikal di serata dunia, sehinggakan jurulatih berbasikal lagenda Hunter Allen dari Amerika Syarikat serta rakannya Andrew Cogan (ahli fisiologi terkenal yang juga merupakan seorang pemegang Ph.D.) telah mengeluarkan beberapa bahan rujukan serta hasil kajian mengenainya yang sering digunapakai jurulatih dan pelumba di seantero dunia.

Dengan mengambil kira FTP dan tahap pengalaman seseorang pelumba, mereka dapat melihat dengan jelasnya di mana kedudukan masing-masing di antara gerombolan pelumba-pelumba yang ada, dan dapat bersaing dalam persekitaran yang lebih sihat.

Memudahkan Atlet Menonjolkan Diri

Sistem penggredan ini juga membuka peluang untuk setiap atlet untuk menonjolkan diri masing-masing. Dengan saingan yang lebih seimbang dalam setiap kategori, setiap aksi dan pencapaian seseorang pelumba itu akan lebih jelas disajikan kepada penonton dan pemerhati.

Ia juga sedikit sebanyak melenyapkan kemungkinan pelumba baru yang berpotensi kelihatan tenggelam akibat perhatian yang tertumpu kepada pelumba kegemaran yang lebih dikenali ramai. Ini juga sebenarnya memudahkan lagi mereka ini untuk menarik perhatian pencari bakat daripada mana-mana pasukan atau organisasi berbasikal di negara ini, justeru meningkatkan peluang atlet berpotensi untuk pergi lebih jauh.

Memupuk Budaya Perlumbaan

Sistem yang lebih teratur juga diharapkan dapat memupuk minat orang ramai terhadap sukan berbasikal dengan lebih lagi di masa hadapan, lebih-lebih lagi budaya perlumbaan dan bukan sekadar kayuhan santai.

Admin tahu sudah pasti ramai anak-anak muda di luar sana yang berminat ingin menyertai perlumbaan berbasikal. Ada juga yang berpaling kepada perlumbaan jalanan yang merbahaya. Jangan takut, jangan segan. SCS merupakan satu platform untuk anda semua diluar sana beraksi dalam perlumbaan yang lebih teratur, terkawal dan selamat. Jom serlahkan dan asah bakat masing-masing!

Secara keseluruhannya, diharapkan pengenalan dan implementasi sistem penggredan “bike-ability” ini dapat menarik minat lebih ramai lagi kepada sukan berbasikal. Selangor Criterium Series 2019 telah disambut dengan amat baik oleh masyarakat, dengan 6 pasukan dan seramai 195 pelumba telah mendaftar bagi perlumbaan pertama di Shah Alam tempoh hari. SCS kali ini juga telah dikembangkan lagi kepada 6 perlumbaan berbanding 3 pada tahun lepas.

Selangor Criterium Series mengikut tradisi perlumbaan criterium atau crit di mana pelumba akan berlumba di dalam litar tertutup yang melibatkan sejumlah pusingan dengan gaya teknikal dan pantas. Perlumbaan-perlumbaan disediakan bagi kesemua penunggang tidak kira amatur atau profesional yang ingin mencabar diri mereka dalam budaya sukan perlumbaan berbasikal.

SCS 2019 telah dilancarkan dengan Pra-Perlumbaan SCS di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 11 Mei yang lalu. Baru-baru ini perlumbaan pertama dalam siri ini telah disempurnakan di Taman Tasik Shah Alam pada 6 Julai. Tarikh dan lokasi perlumbaan-perlumbaan seterusnya adalah seperti berikut:

Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang – Ahad, 18 Ogos (7:00AM)

Stadium MBPJ, Petaling Jaya – Sabtu, 7 September (7:00AM)

Bukit Jelutong, Shah Alam – Sabtu, 6 Oktober (7:00AM)

Persiaran Semarak Api, Cyberjaya – Sabtu, 9 November (7:00AM)

Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang – Sabtu, 7 Disember (7:00PM)

SCS merupakan sebuah hasil daripada inisiatif Cycling Selangor yang dizahirkan dan dianjurkan oleh Selangor Youth Community (SAY) yang diasaskan oleh D.Y.T.M Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, untuk mencungkil dan membangunkan juara dunia berbasikal akan datang dari bumi Selangor. Di bawah sepanduk Cycling Selangor, SCS telah dilancarkan pada tahun 2018 untuk menjadi platform yang menyatukan pelumba-pelumba dan rakan-rakan komunitinya. Tujuan utamanya adalah untuk memperkasakan budaya perlumbaan basikal di kalangan belia. 6 perlumbaan akan diadakan pada tahun ini, dengan satu perlumbaan dijalankan setiap bulan bermula dari Julai hingga Disember 2019. Bagi versi keduanya pada tahun ini, ia membawa suatu kelainan dalam sukan berbasikal di Malaysia dengan menggunapakai sistem “bikeability” untuk menyusun pelumba-pelumba ke dalam kategori masing-masing berbanding kategori umur yang sering digunapakai di negara ini. Terdapat 8 kategori di mana lelaki dibahagi kepada kategori Lelaki Elit dan Lelaki A hingga D, wanita kepada Wanita A dan B, dan juga kategori Gear Tetap terbuka.

Selangor! Ayuh kita kayuh!

Sumber:

Arthurs-Brennan, M., & Arthurs-Brennan, M. (2018, August 31). What is FTP in cycling and how do I test and improve it? Retrieved July 25, 2019, from https://www.cyclingweekly.com/fitness/ftp-cycling-363865

Australian Cycling Needs A System For Grading. (2016, May 13). Retrieved July 24, 2019, from https://cyclingtips.com/2009/12/australia-cycling-needs-a-grading-system/

British Cycling Handbook 2019. (2019). Retrieved July 25, 2019, from https://www.britishcycling.org.uk/zuvvi/media/bc_files/rulebook/2018/british-cycling-handbook-2019.pdf

Delaney, B. (2019, April 16). What is FTP and why it matters for cyclists. Retrieved July 24, 2019, from https://www.bikeradar.com/advice/fitness-and-training/what-is-ftp-and-why-it-matters-for-cyclists/

Road Category Upgrade Guidelines. (n.d.). Retrieved July 25, 2019, from https://legacy.usacycling.org/news/user/story.php?id=580

Selangor Criterium Series Information. (n.d.). Retrieved July 24, 2019, from https://cyclingselangor.com/selangor-criterium-series/information

The Progression Of Racing And The Australian Grading System. (2016, May 13). Retrieved July 24, 2019, from https://cyclingtips.com/2011/02/australian-grading-system/

Wood, R. (2018, May 30). How do the USA Cycling Race Categories Work? Retrieved July 25, 2019, from https://www.active.com/cycling/articles/how-do-the-usa-cycling-race-categories-work

Scroll Up